Dr Ismail Aby Jamal

Dr Ismail Aby Jamal
Born in Batu 10, Kg Lubok Bandan, Jementah, Segamat, Johor

Wednesday, November 12, 2008

Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Caj ceramah RM8000 MOSTI beri publik 2 minggu kemuka bukti

Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Caj ceramah RM8000 MOSTI beri publik 2 minggu kemuka bukti
Rabu November 12, 2008
Caj ceramah RM8,000; MOSTI beri publik 2 minggu kemuka bukti
Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN
KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sehingga petang ini belum menerima sebarang aduan daripada orang ramai berhubung dakwaan bahawa angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor mengenakan caj siri ceramah sehingga RM8,000 sejam.
"Hingga hari ini pihak kami masih belum terima sebarang aduan daripada orang ramai berhubung dakwaan ke atasnya (Sheikh Muszaphar)," kata Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof kepada mStar Online hari ini.
Pada masa yang sama beliau sekali lagi meminta supaya pihak yang mendakwa dikenakan bayaran dalam siri ceramah angkasawan negara tersebut tampil mengemukakan maklumat kepada kementeriannya bagi membantu siasatan.
Ditanya berapa lama tempoh masa yang diberikan kepada orang ramai membuat aduan berhubung isu tersebut, Fadillah berkata:
"Saya beri mereka (orang ramai) tempoh selama dua minggu untuk kemukakan bukti-bukti untuk menyokong dakwaan tersebut." Jelasnya, selepas tempoh dua minggu tersebut berkahir, pihaknya akan menganalisa bukti-bukti yang diperolehi untuk melihat sama ada tuduhan ke atas beliau (Sheik Muszaphar) berasas atau tidak.
"Kami akan mengkaji dan menganalisa bukti-bukti yang diperolehi secara terperinci.
"Setakat ini, kami sifatkan tuduhan itu sebagai tohmahan semata-mata, kerana tiada bukti-bukti yang boleh menyokong dakwaan tersebut," katanya.
Tambah beliau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Maximus Ongkili akan membuat kenyataan rasmi berhubung isu tersebut setelah laporan kes itu siap sepenuhnya.
Semalam, Fadillah berkata orang ramai boleh mengemukakan aduan secara formal dengan menyertakan maklumat dalam bentuk seperti baucer bayaran, resit serta menyatakan berapa jumlah yang dibayar, tempat dan siapa ejennya kepada kementerian untuk siasatan selanjutnya.
BERITA TERDAHULU
Caj ceramah RM8,000; MOSTI minta publik kemuka bukti jika ada
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof meminta supaya pihak yang mendakwa dikenakan bayaran dalam siri ceramah Angakasan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor tampil mengemukakan maklumat kepada kementeriannya bagi membantu siasatan.
"Setakat ini kita masih belum menerima aduan secara formal, jadi kalau ada pihak-pihak yang tidak berpuas hati yang mengatakan beliau ada mengenakan caj supaya menulis surat kepada kementerian dan kemukakan maklumat.
"Maklumat-maklumat tersebut ialah seperti baucer bayaran, resit serta nyatakan berapa jumlah yang dibayar, tempat dan siapa ejennya," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen semalam.
Tambah beliau lagi kini pihak kementerian sedang menjalankan siasatan dan ia akan diteruskan hingga semua pihak berpuas hati.
"Kita teruskan siasatan dan akan lihat segala aduan hingga kita capai keputusan yang memuaskan hati semua pihak," katanya.
Jelas beliau berdasarkan pertemuan yang diadakan bersama Sheikh Muszaphar, angkasawan itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.
"Ikut pertemuan saya bersamanya semalam, beliau menidakkan. Mungkin caj yang dikenakan itu ialah daripada penganjur.
"Maknanya penganjur yang anjurkan sesuatu ceramah itu yang mengenakan caj-caj tertentu, tapi bukan Sheikh Muszaphar... untuk penganjur sendiri," katanya.
Tambah beliau lagi, angkasawan itu kini bergerak menerusi Agensi Angkasa di bawah kementeriannya dan tiada caj yang dikenakan jika beliau menyampaikan ceramah anjuran kementerian berkenaan.
Mengulas mengenai dakwaaan bapa Sheikh Muszaphar, Sheikh Mustapha yang mengatakan kerajaan tidak memberi layanan yang baik kepada anaknya itu, Fadillah menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas.
"Saya kira dakwaan itu adalah tidak berasas kerana beliau kini adalah kakitangan kerajaan di bawah Agensi Angkasa, kalau dia nak minta layanan istimewa saya tak tahulah.
"Layanan istimewa macam manapun saya tak tahu kerana ia sangat subjektif," katanya.
Tambah beliau lagi angkasawan itu berkhidmat mengikut gred jawatan yang ditawarkannya oleh kerajaan.
"Kalau tidak salah saya dahulu semasa beliau berkhidmat di HUKM, grednya hanya 43, tapi sekarang sudah dinaikkan ke 48, maknanya dah ada keistimewaanlah kerana dah ada kenaikkan," katanya.
Sabtu lalu, Sheikh Muszapar menafikan dakwaan beliau mengenakan bayaran sehingga RM8,000 sejam untuk berceramah dan telah mengumpulkan RM1.2 juta hasil siri ceramah sejak setahun lalu. Angkasawan pertama negara itu juga menafikan telah mengadakan ceramah membabitkan 150 korporat setakat ini.
Tegas Sheikh Muszaphar, dakwaan bahawa beliau menerima beribu-ribu ringgit bagi setiap ceramah adalah tidak benar.
Sementara itu ketika dihubungi, Fadillah berkata: “Pertemuaan hari ini (semalam) lebih tertumpu kepada analisa fakta yang dikemukakan beliau (Sheikh Muszaphar) semalam. Tiada pertemuan lanjut dengannya kerana tiada maklumat tambahan yang diberikan berhubung isu ini.”
Jelasnya, pihak kementerian masih menganggap tuduhan ke atas angkasawan negara itu sebagai tuduhan yang tidak berasas.
“Kami masih anggap tuduhan ini tidak berasas kerana tiada bukti yang dikemukakan hingga kini,” katanya.
Tambah beliau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Maximus Ongkili akan membuat kenyataan rasmi berhubung isu tersebut setelah laporan kes itu siap sepenuhnya.
“Setelah dua proses ini selesai, barulah saya akan siapkan laporan penuh dan meyerahkan kepada menteri untuk mengambil langkah yang seterusnya,” katanya.

No comments: